facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close

Tuesday, 15 November 2011

Info - Cinta Realiti Vs Cinta Laman Sosial


Zaman sekarang zaman millennium, zaman cinta laman sosial. Setuju tak dengan kenyataan itu? Dapat kita perhatikan terutamanya sejak dua atau tiga tahun yang lepas, ramai pasangan yang bercinta bertemu dalam laman sosial. Myspace, Friendster, Yahoo Messenger, Tagged dan yang paling popular, Facebook. Adakah keadaan ini bagus? Ia sebenarnya bagus kerana dapat menemukan dua orang yang mempunyai impian, ciri ciri dan kriteria yang sepadan untuk menjadi pasangan tetapi secara negatifnya, banyak yang tertipu dengan cinta di laman sosial, lebih lebih lagi remaja dan mereka yang kurang cerdik dalam membuat keputusan.

Setiap perkara itu ada baik dan buruknya. Jangan terlalu skeptikal dengan mengatakan semua cinta di laman sosial tidak boleh dipercayai. Tahukah anda, sebenarnya ramai pasangan yang bertemu di laman sosial hidup bahagia sekarang? Tetapi jangan pula mudah percaya dengan orang orang yang melamar anda untuk menjadi kekasihnya di laman sosial. Pokoknya, anda harus bijak. Tidak semua orang yang menggunakan laman sosial untuk mencari kekasih itu jahat dan tidak jujur. Andalah yang harus tahu cara bertindak dengan betul dan menguasai cara cara untuk mengelakkan diri dari ditipu di laman sosial.

Bak kata pepatah, menyesal dulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna. Banyak dah terjadi dan dipaparkan dalam akhbar tentang kes penipuan di laman sosial. Jadi saya akan kongsikan sedikit tips untuk mengelakkan diri dari ditipu di laman sosial.

Jangan percaya dengan profile yang misteri

Di apa apa laman sosial pasti ada profile yang menunjukkan segala info tentang diri seseorang kan? Dari situ sebenarnya anda sudah boleh agak sama ada seseorang itu jujur atau tidak di dalam laman sosial. Mungkin ada sesetengah orang mengatakan mereka low profile dan tidak mahu mempamerkan maklumat diri mereka kepada umum. Sebenarnya itu hanya alasan semata mata. Cuba fikir, kenapa dia mahu hidekan info tentang dirinya jika tiada apa yang ingin disembunyikan? Orang yang misteri ini menarik tetapi sangat berbahaya. Tidak mustahil juga mereka akan menipu anda bila anda bertanya tentang dirinya. Lagi satu, anda harus melihat dari segi gambar gambar yang dipaparkan ke dalam akaun laman sosialnya. Adakah dia kerap menggunakan gambar benda atau objek sebagai pengenalannya? Orang yang misteri adalah orang yang tidak menggunakan gambar sendiri di laman sosialnya. Ingat, anda harus cukup berjaga jaga dengan ciri ciri sebegini.

Bukanlah bermaksud, jika seseorang itu meletakkan gambar sebenar dia tidak berpotensi menipu. Tetapi risiko untuk anda ditipu dengan orang yang misteri adalah lebih besar. Jadi, hati hati.

Lihat siapa rakan rakannya

Benar, kita tidak boleh menghakimi seseorang daripada luaran sahaja. Tapi anda tetap juga harus memerhatikan aspek rakan rakannya di laman sosial. Perhatikan juga cara percakapannya. Kasar atau tidak dan jika anda menyenanginya, tidak salah untuk berkenalan dengan lebih lanjut. Cuma anda perlu lebih berhati hati. Di sini sebenarnya, anda harus perhatikan dua keadaan, satu apabila seseorang di dalam laman sosial bersikap begitu sopan dan baik terhadap anda dan satu lagi, seseorang yang bersifat kurang ajar dengan anda terutamanya jika anda seorang wanita. Jangan mudah percaya dengan kata kata dan peribadi manis yang ditunjukkan di laman sosial, itu mungkin hanya satu lakonan semata mata. Juga jangan melayan langsung lelaki yang kurang ajar terhadap anda. Contohnya, dia meminta no telefon anda tanpa adab dan memarahi anda apabila anda enggan memberikan apa yang dia mahu. Tentu anda sudah tahu apa yang perlu dibuat kan? Jangan layan! Bergaduh pun jangan, tidak ada gunanya. Kalau boleh, segera buang dia sebagai rakan anda dalam laman sosial.

Anda pasti tahu kes fake profile yang dibuat orang orang tidak bertanggungjawab untuk tujuan balas dendam kan? Jadi lebih baik anda remove sahaja orang seperti itu dari laman sosial anda. Berkenaan dengan orang yang berperibadi baik dan sopan pula, seperti yang saya katakan tadi, jangan mudah cair dan cepat percaya. Orang seperti itu sangat berpotensi untuk menipu sebenarnya.

Jumpa di luar

Ini adalah langkah untuk memastikan seseorang itu sama seperti di dalam laman sosial atau hanya omongan kosong semata mata. Untuk bertemu dengan seseorang yang anda kenali di laman sosial, pastikan tempat pertemuan itu adalah tempat awam dan ramai orang. Elakkan juga berjumpa pada waktu malam. Seeloknya bawa teman. Anda juga harus tahu bahawa perilaku seseorang adalah sangat berbeza di dalam laman sosial dan di luar. Realitinya jauh berbeza. Jika dia betul betul serius ingin mengenali anda dengan lebih rapat, dia tidak akan teragak agak untuk bertemu anda. Apabila bertemu, jaga minuman dan makanan anda dengan baik. Apa saja boleh berlaku bila anda leka. Saya tidak mengajar anda supaya menjadi seorang yang paranoid, tapi ini adalah langkah berjaga jaga yang sangat penting. Pasti anda tahu kes wanita yang dirogol selepas si perogol meletakkan ubat pada minumannya kan? Anda tidak mahu jadi mangsa, jadi anda perlu lebih berhati hati. Jika segalanya normal dan selamat, dan jika anda menyenanginya, maka bolehlah anda teruskan dengan perjumpaan yang lain lain pula.

Terima hakikat laman sosial tidak sama dengan realiti

Ini bermaksud, anda harus faham bahawa personaliti seseorang adalah berbeza di laman sosial dan realiti. Apabila anda sudah mengenali seseorang dari laman sosial dengan lebih rapat, pasti banyak perangai lainnya yang akan anda dapat tahu dimana ia tidak ada di dalam laman sosialnya. Ambillah masa untuk berjumpa dengan lebih kerap di dunia luar. Pelajari tentang sikapnya yang sebenar. Kenalilah siapa rakan rakan dan butiran peribadinya yang lain. Lebih bagus jika anda dikenalkan dengan keluarganya. Itu menunjukkan dia serius dengan anda. Jangan samakan dunia laman sosial dengan dunia realiti. Laman sosial hanyalah medium untuk anda berkenalan, selebihnya perkenalan yang lebih jujur adalah dengan berjumpa di dunia realiti dan mengenali diri masing masing, bukan hanya di dalam laman sosial sahaja.

Berkenalan dalam tempoh yang lama

Setelah anda bertemu di luar, segalanya nampak indah dan tidak ada keraguan, jangan terus menanamkan impian untuk bersama dahulu. Ambillah masa yang secukupnya untuk mengenali dia sebelum anda meneruskan hubungan ke peringkat yang lebih jauh. Jangan terlalu gopoh dalam menentukan hala tuju hubungan anda. Jika boleh, berkawanlah dahulu untuk tempoh beberapa bulan sebelum anda dan dia pergi ke peringkat seterusnya. Anda pasti tidak mahu segalanya hanya indah pada permulaan kan?

Bukan mudah mencari cinta sejati, kerana cinta itu sejati itu adalah cinta yang sebenar. Tapi anda harus berusaha dan tidak putus asa mencari cinta sejati. Jika anda sendiri adalah seorang kekasih yang baik, pasti suatu hari nanti anda akan mendapat seorang kekasih yang baik juga. Sama ada bertemu di alam realiti atau laman sosial, cinta sejati tetap akan tiba juga nanti.
loading...