Jenazah Ahmad Jais Selamat Dikebumikan

Untuk Info Penuh Klik Pada Iklan Ini
DATUK MOHD JAIS AHMAD
( 1936 - 2011 )


SHAH ALAM: Jenazah Allahyarham Penyanyi Datuk Ahmad Jais,75, atau nama sebenarnya Mohd. Jais Ahmad selamat dikebumikan kira-kira pukul 2 petang, di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, Selasa.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.30 pagi Selasa di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC ) di sini.
Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata dan 13 orang cucu.
Menurut anak keempat beliau, Maimun, 31, doktor mengesahkan kematian Allahyarham adalah disebabkan komplikasi penyakit paru-paru.


Kata Maimun, Allahyarham meninggal dunia di sisi beliau dan adik bongsunya iaitu Mashitah Mohd Jais, 25.
Sejak semalam keadaan ayah bertambah kritikal dan doktor menasihati supaya kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Saya dan adik bersama Allahyarham sejak semalam dan sempat membacakan surah Yassin sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir pagi ini (Selasa)," ujarnya.
Selain Maimun dan Mashitah, tiga lagi anak Allahyarham ialah Mohamad Iskandar Mohd Jais, 45, Mohd Iesham, 43 dan Salawati, 30-an.
Jenazah sebelum itu dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini untuk dikapan dan disembahyangkan.


Peminat dan rakan artis penyanyi veteran itu kelihatan berkumpul di perkarangan masjid untuk memberikan penghormatan terakhir terhadap beliau.
Antara artis yang kelihatan adalah Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid, Hail Amir, Aziz Satar dan Ibnor Riza.
Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan separa rapi di pusat perubatan itu pada 25 September lalu selepas mengalami masalah sesak nafas.
Beliau dikhabarkan mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu.


Bagaiamanapun pada 15 September lalu beliau terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam.
Allahyarham kemudian dipindahkan ke DEMC kerana beliau mempunyai rekod perubatan di situ.
Isteri beliau, Mas Halilah Mad Nayeen meninggal dunia pada tahun 2009 akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah darah tinggi dan kencing manis.
Antara lagu popular Ahmad Jais ialah Bunga Ku Puja Dipetik Orang, Dikau Pujaan, Gelisah dan Bahtera Merdeka.


Sumber Dari : mStarOnline
Powered by Blogger.