Caklempong pun boleh alun 'Despacito'

Untuk Info Penuh Klik Pada Iklan Ini


"TIDAK semestinya alat muzik tradisional perlu memainkan lagu lama saja kerana ia juga boleh dimodenkan dengan lagu hit sekali gus mengikut peredaran zaman."
Begitu kata Mohd Afizal Abd Razak, 32, Ketua Panitia Pendidikan Muzik Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng, Perak berhubung video kumpulan caklempong sekolah berkenaan yang tular selepas mendendangkan lagu 'Despacito'.
Video kumpulan dinamakan Gemersik Pawana itu dimuat naik di laman sosial Facebook sejak Sabtu lalu dan sudah menerima lebih satu juta tontonan dalam tempoh kurang 48 jam.
Mohd Afizal berkata, video itu dirakam ketika mereka membuat persembahan khas dalam rancangan bual bicara Nasi Lemak Kopi O di TV9 dan Gemersik Pawana hanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menghasilkan lagu berkenaan.
"Idea itu dicetuskan oleh pelajar saya, dan mereka begitu bersemangat menyusun semula lagu itu dalam tempoh masa seminggu selepas difahamkan perlu membuat persembahan khas di akhir rancangan.
"Saya hanya mengajar teknik asas sahaja dan memperkemaskan lagi beberapa bahagian lagu untuk memastikan persembahan menjadi lebih baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Mohd Afizal yang juga jurulatih Gemersik Pawana, pada Mei lalu kumpulan muzik tradisional itu pernah tular dengan video lagu 'See You Again' pada majlis persaraan pengetua mereka, namun ia tidak sehebat persembahan Despacito.
"Kami tidak menjangkakan persembahan lagu Despacito menjadi tumpuan ramai kerana ia boleh dikatakan karya ‘last minute’ (minit terakhir).
“Malah, kami turut dijemput ke program Nasi Lemak Kopi O sekali lagi pada Sabtu ini kerana persembahan itu mendapat sambutan baik.
"Namun, pujian harus diberikan kepada pelajar-pelajar ini kerana kreativiti mereka mengubah lagu sendiri tanpa bimbingan serta mempunyai pemikiran aras tinggi dalam usaha memastikan alat muzik tradisional terus dipertahankan," katanya.
Menurutnya, dia berharap industri muzik tradisional seperti caklempong, gamelan dan kompang tidak ketinggalan zaman sekali gus dapat diteruskan oleh generasi muda biarpun memainkan lagu moden.
Gemersik Pawana ditubuhkan pada 2014 selepas Exco Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menyumbangkan set alat muzik caklempong bernilai RM20,000 kepada sekolah terbabit.
Kumpulan yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga empat itu melakar kejayaan setahun kemudian selepas dinobatkan sebagai johan pertandingan caklempong dan kibod peringkat kebangsaan pada 2015.
Gemersik Pawana turut menerima Anugerah Perak pada Festival Kesenian Kebangsaan, tahun ini.

Keterangan Gambar
Pix : Video mereka yang tular di laman sosial Facebook.
Pix : Kumpulan Gemersik Pawana bergambar dengan krew Nasi Lemak Kopi O.
Pix : Gemersik Pawana pada persembahan di sekolah mereka.
tamat 

Sumber : MyMetro
Powered by Blogger.