RAJA ILYA SANGGUP DIBEDAH DEMI FILEM MARVEL

Untuk Info Penuh Klik Pada Iklan Ini


GOMBAK: Demi filem adiwira terbitan Marvel yang juga naskhah Hollywood pertama lakonannya, Raja Ilya sanggup mengambil risiko melakukan perubahan pada diri dengan melakukan surgeri.


Menurut pelakon 32 tahun itu, beliau harus berkorban untuk dilihat setanding dengan pelakon antarabangsa lain. Justeru, beberapa persediaan awal perlu dilakukan, termasuk menjalani pembedahan dan menghasilkan otot tubuh.

“Syarikat perfileman antarabangsa agak was-was untuk menerima pelakon dari Asia, terutama bakat beragama Islam. Begitupun demi karier dan peluang keemasan ini, saya sanggup mengambil risiko.
“Saya masih berpegang pada agama dan mereka juga tahu saya seorang Muslim. Tetapi saya katakan kepada mereka, saya boleh berikan sedikit kelonggaran.
“Mereka sukakan warna kulit saya dan mahu saya mengekalkannya seperti sedia kala. Walaupun tiada paksaan, saya berasa perlu untuk melakukan sedikit perubahan pada diri supaya dilihat setanding artis antarabangsa,” katanya kepada BH Online, hari ini.
Takkan beraksi bogel mahupun babak yang boleh menjejaskan namanya, Raja Ilya bagaimanapun mengakui filem terbabit nanti akan mempunyai babak yang memerlukan beliau berpakaian seksi seperti watak Wonder Woman, lakonan Gal Gadot.

“Apabila berlakon di layar lebar yang bukan saja untuk tontonan di Malaysia, saya rasa perlu berkorban sedikit. Saya tidak mahu ada kecacatan dari segi lakonan, bakat dan penampilan kerana saya juga akan membawa nama Malaysia,” katanya.
Raja Ilya turut memberitahu, ada syarikat yang sudi menghulurkan tajaan bagi membolehkannya memperkemaskan bentuk tubuhnya.
“Mereka boleh membantu saya menampakkan otot tubuh tanpa perlu bersusah-payah ke gimnasium. Lagi pun, saya tiada masa untuk ke gimnasium. Menerusi cara ini, saya dapat bentuk badan yang diinginkan dengan cepat.
“Malah, ada klinik yang sudi menaja saya dari atas ke bawah. Mereka berbuat demikian bukan kerana saya selebriti, tetapi demi penampilan saya dalam filem ini,” katanya.

Beraksi dalam filem terbabit juga, kata pelakon ini, memerlukan dirinya untuk berlatih berlari. Justeru, pada awal tahun depan, beliau bakal menjalani latihan mempertingkatkan stamina, sama ada di Los Angeles, Atlanta, New York atau London.
Dijadualkan berangkat ke Amerika Syarikat (AS) pada Disember depan, Raja Ilya akur apabila tidak dapat menjayakan projek lakonan di negara ini sepanjang 2018 bagi memberikan tumpuan kepada filem yang enggan didedahkan dulu judulnya itu.
“Saya pula bukanlah menetap di sana, sebaliknya akan tetap pulang ke Malaysia. Cuma apabila ada tuntutan watak, barulah saya akan terbang ke AS,” katanya yang bakal muncul dengan filem KL Vampire, Ogos depan.
Sumber: superkiram
Powered by Blogger.