SUHU ENJIN TERLAMPAU PANAS DAN PADA PARAS BAHAYA

Untuk Info Penuh Klik Pada Iklan Ini
Enjin terlampau panas. Segera bertindak agar kenderaan anda tidak terjejas.
Situasi enjin menjadi terlampau panas kerap berlaku ketika cuaca panas.  Walaupun ianya jarang berlaku pada kenderaan hari kini, namun kereta yang dijaga rapi pun tetap boleh menjadi terlalu panas enjinnya. Jika anda berada dalam keadaan trafik terhenti-henti atau sedang mendaki jalan berkecerunan tinggi pada hari panas dan penunjuk suhu enjin kereta naik atau lampu penunjuk kepincangan menyala, cara-cara berikut boleh menyejukkan semula kenderaan anda.

Situasi Boleh Memberhentikan Kereta Dengan Selamat

  1. Berhenti Di Tempat Teduh. Jika anda mendapati suhu enjin pada paras bahaya (pada penanda merah atau hampir), pandu kenderaan anda keluar dari lalulintas dan berhenti di tempat yang selamat dan teduh. Pasangkan brek tangan dan tukarkan gear pada kedudukan neutral.
  2. Jangan Terus Matikan Enjin. Jangan segera mematikan enjin kereta anda, sebaliknya:
    • Matikan pendingin hawa, buka semua tingkap, suis kipas pada kelajuan yang paling tinggi.
    • Buka bonet enjin dan lihat sama ada tali kipas tidak putus atau berkeadaan longgar.
    • Lihat sama ada kipas penyejuk enjin masih berfungsi atau tidak.
    • Lihat sama ada berlaku kebocoran pada saluran getah penyambung dan komponen radiator. Jangan sentuh kipas yang sedang berpusing atau alat-alat lain yang bergerak.
  3. Tingkatkan Penyejukan.  Jika tiada kebocoran atau masalah kipas, tekan sedikit injak pemecut untuk meningkatkan putaran enjin dalam keadaan bonet terbuka.  Ini akan meningkat aliran penyejuk dalam radiator dan aliran udara pada sirip penukar haba radiator. Ini mempercepat dan membantu penyejukan enjin.
  4. Jika Enjin Tidak Menyejuk Atau Ada Kebocoran. Matikan enjin jika mendapati penyambung atau komponen radiator bocor.  Matikan juga enjin jika anda dapati enjin tidak menyejuk setelah langkah 2 dan 3 dilakukan.
  5. Tunggu Enjin Sejuk Dan Isi Semula Radiator. Tunggu sehingga enjin menjadi sejuk.  Biasanya ia mengambil masa 30 minit untuk enjin cukup sejuk dan selamat dikendalikan. Buka penutup radiator untuk memeriksa aras air. Jika kurang atau kering, isikan air dan cecair penyejuk (jika ada) ke dalam radiator dan tangki simpanan. Hidupkan semula enjin.  Baca Memeriksa Radiator Kereta di bawah.
    Nota:  Jika anda hendak menambah air ketika enjin masih panas sedikit, tambahkan air perlahan-lahan ketika enjin hidup dalam gear Neutral atau Parkir.
  6. Dapatkan Bantuan Mekanik.  Anda boleh memilih sama ada untuk terus memandu ke mekanik terdekat atau anda boleh mendapatkan bantuan penunda.  Bantuan mekanik perlu jika terdapat komponen bocor.

Situasi Anda Terpaksa atau Boleh Terus Memandu

  1. Matikan Pendingin Hawa. Pada tanda pertama menunjukkan suhu enjin kereta anda meningkat naik, matikan pendingin hawa dan buka tingkap kereta anda. Berbuat begini akan mengurangkan bebanan enjin dan membantu enjin menyejuk.
  2. Hidupkan Kipas Penghembus (Untuk Kereta Negara Beriklim Sejuk). Jika enjin terus menjadi terlampau panas, hidupkan kipas penghembus. Ini memindahkan haba dari enjin ke ruang penumpang. Ini akan menyebabkan ruang penumpang menjadi panas, jadi buka tingkap kereta untuk membolehkan haba tersebut terbebas ke persekitaran.
  3. Cuba Jangan Terlalu Banyak Membrek. Jika anda dalam lalulintas yang terhenti-henti, cuba jangan terlalu banyak membrek, sebaliknya bergerak dengan perlahan-lahan seiring dengan pergerakan lalulintas dengan enjin hampir dalam keadaan melahu. Membrek kemudian menekan pemecut meningkatkan beban enjin dan menjadikannya panas. Jika keadaan lalulintas merangkak-rangkak pula, bergerak ke depan hanya bila jarak kereta anda dengan kenderaan di depan sudah menjadi terlalu besar.
  4. Tingkatkan Penyejukan.  Jika anda dalam lalulintas terhenti dan penunjuk suhu terus naik, tukarkan ke gear Neutral (N) atau Parkir (P) dan tekan injak pemecut untuk meningkatkan putaran enjin sedikit. Berbuat begini membuatkan pam air dan kipas enjin berputar lebih laju dan membawa lebih banyak air dan udara melalui radiator. Peningkatan peredaran udara dan air ini membantu enjin untuk sejuk.
  5. Berhenti. Jika langkah-langkah di atas tidak berkesan, pandu kenderaan anda keluar dari lalulintas dan berhenti di tempat yang selamat. Matikan enjin kereta. Jika anda boleh membuka bonet enjin dari tempat duduk pemandu, lakukannya – tetapi jangan risikokan diri dengan membuka dengan tangan sehinggalah enjin sudah sejuk, terutamanya setelah anda ada terlihat stim keluar dari kawasan enjin. Biasanya ia mengambil masa 30 minit untuk enjin cukup sejuk untuk selamat dikendali. Jika anda memilih untuk membiarkan anggota professional untuk mengendalikan masalah ini, inilah masa yang sesuai untuk memanggil bantuan penunda.
  6. Periksa Radiator Kereta.  Periksa sebarang kebocoran atau kerosakan pada kipas enjin kereta.  Baca Memeriksa Radiator Kereta di bawah.

Penting: Jika Ternampak Stim Dari Enjin

Jika anda ternampak stim keluar dari bonet enjin kereta anda, segera berhenti dengan selamat dan cepat-cepat matikan enjin.  Jangan terus memandu. Cecair penyejuk dalam sistem penyejukan enjin kereta anda sudah mendidih dan boleh kering dengan cepat. Meneruskan memandu boleh merosakkan enjin dengan teruk yang memungkinkan anda terpaksa menggantikan keseluruhan enjin kereta anda.

Memeriksa Radiator Kereta

Apabila enjin sudah sejuk, periksa tangki bahan penyejuk.  Biasanya ianya tangki plastik lutsinar berdekatan radiator.  Jika tangki bahan penyejuk ini kosong, anda mungkin menghadapi masalah kebocoran.  Lihat di bawah kereta.  Jika anda ternampak ada titisan atau tompokan air, ada kemungkinan tangki bahan penyejuk bocor.
Jika anda menghadapi kebocoran, buka dengan berhati-hati penutup radiator.  Lapikkan kain ke atas penutup radiator untuk melindungi tangan anda, dan condongkan penutup menghala keluar dari badan anda ketika membukanya.  Isikan radiator yang telah sejuk itu dengan air atau bahan penyejuk gantian anda.  Jangan tuang air sejuk ke dalam radiator yang masih panas kerana ini boleh menyebabkan blok enjin meretak kerana perubahan suhu mendadak.  Jika anda betul-betul perlu menambahkan air ketika enjin masih panas, tuang perlahan-lahan ketika enjin sedang hidup dengan gear pada Neutral atau Parkir.
Perlu diketahui juga bahawa kebanyakan kereta memerlukan campuran 50/50 air dan bahan penyejuk untuk mengelakkan enjin terlampau panas, jadi anda tidak boleh memandu dengan isian air sahaja selama-lamanya.  Jika anda tidak menambahkan bahan penyejuk ketika berlakunya keadaan enjin terlampau panas ini, pastikan anda menambahkannya jumlah yang sepatutnya secepat mungkin.
Jika tangki bahan penyejuk penuh, masalahnya mungkin masalah bersifat elektrikal atau mekanikal.  Dalam keadaan ini, kereta perlu ditunda ke kedai membaiki kereta terdekat atau panggilan bantuan mekanik perlu dibuat.  Kebocoran saluran, tali kipas haus, pam air yang kurang berfungsi atau termostat yang pincang mungkin menjadi penyebab.

Setelah Enjin Kembali Sejuk

Setelah enjin kembali sejuk dan selamat untuk menghidupkan semula enjin, kereta tersebut perlu dibawa dengan segera ke pusat servis atau mekanik terdekat untuk pemeriksaan yang sewajarnya.  Ketika memandu, elakkan membrek mengejut atau memecut mengejut. Ini supaya beban enjin sentiasa rendah.  Sentiasa perhatikan juga tolok suhu dan jika suhu kembali naik menghampiri/melebihi tahap optima, adalah lebih baik untuk berhenti di bahu jalan, matikan enjin dan panggil bantuan penunda untuk membawa kereta ke pusat servis.

Jika Enjin Kerap Terlebih Panas atau Mencapai Tahap Merah

Bukan suatu yang biasa untuk enjin kereta masa kini menjadi terlampau panas dan ini bukan sesuatu yang baik tidak kira apa jua usia kereta anda. Jika anda mendapati enjin kenderaan anda kerap menjadi terlampau panas, ini menunjukkan adanya masalah yang lebih besar, jadi hubungi kedai baiki kereta atau pakar kenderaan yang anda percayai.

Langkah Beringat-ingat

Sentiasa bawa bekalan air (5 atau 10 liter) di dalam kereta anda untuk kemungkinan ini berlaku. Enjin biasanya terlampau panas jika cecair penyejuk di dalam radiator kurang, jadi menambahkannya menjadi cukup boleh menyelamatkan keadaan. Air juga boleh menjadi penyelamat nyawa dalam keadaan-keadaan lain yang memerlukan.
Sumber : Kecemasan
Powered by Blogger.