Cars 3 lebih serius

Untuk Info Penuh Klik Pada Iklan Ini


Bagi yang mengikuti siri pertama dan kedua filem animasi Cars, jangan lepaskan peluang menyaksikan siri ketiganya.
Cars yang diterbitkan pada 2006 mengisahkan Lightning McQueen dibawa ke kota demi mengembangkan kariernya, sekali gus membuka matanya terhadap erti persahabatan dan perlumbaan sebenar.
Manakala Cars 2 yang ditayangkan pada 2011, memaparkan perlumbaan di luar negara dan insiden yang membuatkan pasukan McQueen mengalami kerugian besar.
Menerusi Cars 3, elemen humor dikurangkan, namun masih mengekalkan banyak babak comel seperti dua filem terdahulu.
Naratifnya juga lebih serius seolah-olah penonton menyaksikan perlumbaan penuh tegang. Oleh itu, ia lebih sesuai ditonton golongan dewasa kerana anak kecil mungkin kurang terhibur.
Karya ini diarahkan Brian Fee manakala skrip pula oleh Robert L Baird Gerson. Kevin Reher, Polly Johnsen dan Denise Ream pula bertindak sebagai produser.
Barisan pelakon yang meminjamkan suara mereka ialah Owen Wilson, Larry the Cable Guy, Bonnie Hunt dan Cheech Marin.
Kisah bermula dengan keinginan Lightning McQueen, pelumba veteran yang ingin kembali beraksi bagi membuktikan kepada generasi baru dia adalah pelumba terbaik sepanjang zaman.
Namun, kehebatan pelumba baru yang jauh lebih pantas membuatkan McQueen terfikir untuk meninggalkan sukan yang dicintainya itu.
Namun, sikapnya yang tidak mudah mengalah membuatkannya berusaha mencari jalan penyelesaian. Demi meraih kejuaraan di Piston Cup Racing, Lightning McQueen meminta bantuan seorang mekanik dan juruteknik muda.
Menerusi filem ini juga McQueen memimpin Cruz Ramirez, pelumba baru yang ingin membuktikan wanita juga layak berdiri setanding lelaki.
Cruz Ramirez menggunakan suara aktres Cristela Alonso. Selain Cruz, filem ini turut memperkenalkan watak Jackson Storm. Meminjam suara Armie Hammer, Storm menjadi pencabar utama McQueen dalam merebut kejuaraan. Storm bukan saja sebuah jentera yang pantas, tetapi berskil tinggi.
Storm sudah biasa hidup mewah, apa yang diingininya diperoleh dengan mudah. Teknologi Storm jauh lebih hebat daripada McQueen. Ia sentiasa bermegah dengan kemampuannya.
Manakala Cruz yang ceria, lucu, berani dan peramah memandang tinggi McQueen.

Sumber : Hmetro

Powered by Blogger.