Sultan Mizan kemudi Malaysia raih 2 emas

Untuk Info Penuh Klik Pada Iklan Ini


SETIU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengetuai kontinjen Malaysia memenangi dua pingat emas dan satu perak dalam acara kuda lasak 80 kilometer pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), di sini, hari ini.
Sultan Mizan yang menunggang Rtes Annaversary menyumbang pingat emas acara individu, diikuti rapat seorang lagi wakil negara, Mohd Bulkhari Rozali yang menunggang JQ Tuan Junior untuk memenangi perak.
Lebih membanggakan ialah apabila Sultan Mizan memecahkan rekod Sukan SEA untuk raih emas berkenaan dengan catatan 3:48:38s.
Sekali pun Mohammad Fuad Hashim yang menunggang Mora Makaka menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, peraturan perlumbaan yang tidak membenarkan pelumba dari pasukan sama untuk menang ketiga-tiga pingat menafikannya gangsa.
Sultan Mizan kemudian meraih satu lagi pingat emas menerusi acara berpasukan bersama Mohd Adhwa Embong yang menunggang Mora Franka, dan Azizatul Asma Abdullah (Mora Tishaka).
Sekali pun penunggang keenam Mohd Yusran Yusuf terpaksa menarik diri di pertengahan perlumbaan selepas kudanya, Castlebar Twilight mengalami kecederaan, ia tidak menghalang pasukan Malaysia muncul juara.
"Kami bekerjasama secara berpasukan, bergerak bersama dan strategi kami membuahkan hasil. Sekali pun ia adalah perlumbaan yang panjang, ia tidak kelihatan membosankan atau melesukan ketika kami berlumba dengan lancar," titah Sultan Mizan.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua, daripada pelatih, pengendali kuda, veterinar, pegawai dan kerajaan negeri - untuk membantu kami mencapai sasaran kami dan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk perlumbaan yang berjaya tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,".
Selain Malaysia, pasukan lain yang bertanding ialah Kemboja, Singapura, Thailand dan Brunei dengan perlumbaan dilepaskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada jam 3.00 pagi.
Tuanku Mizan berkata, tiada keutamaan yang diberikan kerana baginda juga terpaksa mendapatkan tempat di dalam pasukan Malaysia selepas memenuhi kriteria tertentu.
Ini adalah kali pertama Sultan Mizan memenangi pingat emas dalam acara kuda lasak di Sukan SEA sekali pun Malaysia memenangi dua pingat emas pada edisi 2013 di Myanmar.
Kejayaan Sultan Mizan juga mencipta sejarah apabila menjadi Sultan pertama mengambil bahagian dalam Sukan SEA.
Sultan Mizan yang menghuni ranking keempat dunia memiliki pengalaman luas dalam perlumbaan kuda lasak antarabangsa di Timur Tengah dan Eropah.
Baginda memenangi tempat ketiga pada Kejuaraan Perlumbaan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan tahun lalu.
Sumber : Bharian
Powered by Blogger.